Pemancing hanyut lapan jam

Kesemua mangsa diselematkan APMM

JOHOR-Empat pemancing serta seorang tekong berdepan detik mencemaskan apabila bot dinaiki mereka hanyut selama lapan jam akibat kerosakan enjin.

Kejadian berlaku di perairan Pulau Seri Buat, Rompin Pahang, semalam.

Kesemua mangsa warga tempatan yang berusia 58 tahun hingga 73 tahun bagaimanapun lega selepas diselematkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada tekong bot tersebut melalui talian MERS 999 pada jam lebih kurang 3.30 petang.

Menurutnya, sejurus itu, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) menggerakkan Bot Pengawal 32 dari Zon Maritim Mersing bagi melakukan pengesanan ke atas bot mangsa.

“Maklumat kejadian juga disalurkan kepada komuniti maritim setempat dan agensi-agensi sahabat yang lain bagi melancarkan lagi usaha pencarian.

“Pada jam lebih kurang 11.40 malam Bot Pengawal 32 berjaya menjumpai bot hanyut yang membawa pemancing tersebut di kedudukan kira-kira 6.5 Batu Nautika Timur Laut Pulau Layak, Rompin, Pahang,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lokasi penemuan adalah lebih kurang 10.6 batu nautika barat laut dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan menghadapi masalah kerosakan enjin bot.

Menurutnya, lima mangsa terbabit ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan di dalam bot tersebut dan selamat didaratkan pada jam lebih kurang 2.30 pagi .

“Mereka kemudiannya dipindahkan ke Bot Pengawal 32 manakala bot mangsa yang masih mengalami kerosakan enjin ditunda untuk dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Tanjung Gemok.

“Komuniti Maritim yang menjalankan sebarang aktiviti di laut dinasihatkan untuk menitikberatkan faktor-faktor keselamatan secara menyeluruh seperti alat-alat keselamatan, alat-alat kecemasan, keadaan bot, ramalan kaji cuaca dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata, komuniti maritim juga amat digalakkan untuk membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) ketika keluar ke laut di mana alat ini dapat menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan beserta lokasi.

Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.