Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama dilengkapi sistem pengawasan kualiti udara

(MESTECC) melalui JAS telah memasang sebanyak 25 buah stesen Photo Ionization Detector (PID) di sekitar bandar ini serta menempatkan dua unit makmal bergerak

PASIR GUDANG – Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama dilengkapi dengan sistem pengawasan yang akan memantau kualiti udara secara nyata (real time) bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku
sebarang insiden pencemaran.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
(MESTECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memasang sebanyak 25
buah stesen Photo Ionization Detector (PID) dan enam (6) unit Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) di sekitar bandar ini.

MESTECC turut menempatkan dua (2) unit bergerak iaitu Gas Chromatography – Mass Spectrometry (GCMS) dan Gas Chromatography – Flame Ionization Detector (GCFID) yang mula beroperasi sejak Januari 2020.

Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara, yang bernilai RM6.9 juta, dilengkapi dengan alat penggera untuk mengesan bahan pencemar berbahaya di dalam udara mampu memaklumkan pegawai penguat kuasa JAS secara terus sekiranya berlaku pencemaran udara bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil terhadap punca pencemaran.

Pasir Gudang menjadi bandar pertama mempunyai sistem pengawasan udara secara nyata

Dalam pada itu MESTECC tidak akan bertolak ansur terhadap penjenayah kelestarian alam sekitar.

Suspek yang dikaitkan dengan
insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada tahun lepas telah dihadapkan ke
mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh
mahkamah ialah pada 10,11 dan 12 Mac 2020.

Sehingga kini JAS telah melipat-gandakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kilang dan premis di sekitar Pasir Gudang agar mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Sebanyak 664 pemeriksaan telah dijalankan pada tahun 2019 berbanding
460 pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 44%.

Sebanyak 769 tindakan Notis, Kompaun, Sitaan, Mahkamah telah dikenakan pada tahun 2019 kepada pihak industri berbanding 97 tindakan
pada tahun 2018; iaitu peningkatan sebanyak 692%.

Sebanyak 26 buah premis diperiksa melalui Ops Ketuk Ketuk. Operasi ini
diadakan supaya pihak industri merasakan keberadaan JAS sepanjang
masa.

Selain penguatkuasaan di lapangan, JAS turut menjalankan pemantauan melalui
sistem atas talian seperti kualiti pelepasan efluen industri melalui Online
Environmental Reporting (OER) dan pergerakan sisa buangan terjadual melalui Electronic Schedule Waste Information System (E-SWIS).

Sistem E-SWIS ini mampu mengesan pergerakan buangan terjadual daripada
industri kepada kemudahan pengolahan atau pelupusan yang dilesenkan oleh
JAS. Setiap industri yang menghasilkan sisa buangan terjadual adalah bertanggungjawab untuk melaporkan pergerakan buangan yang dihasilkan oleh mereka ke dalam sistem ini.

Pemantauan dengan menggunakan dron telah mula dilaksanakan pada
23 Oktober 2019.

Intipan dengan menggunakan dron ini akan sentiasa dijalankan untuk mengesan apa jua pencemaran dan punca pencemaran dengan
lebih cepat agar tindakan membendung dan mencegah dapat diambil lebih awal.

MESTECC juga telah menubuhkan JAS Cawangan Pasir Gudang sejak 29
Ogos 2019 di Menara Aqabah, MPPG supaya tindakan penguatkuasaan dapat
diambil dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

MESTECC dan Kerajaan Negeri Johor telah menjalinkan kerjasama strategik
bagi membanteras kegiatan penjenayah kelestarian alam sekitar antaranya
dengan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar (JKTAS) Negeri
Johor. Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada 18 Februari 2020.

Melalui JKTAS, isu berkaitan pencemaran dapat dibincangkan
dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu akan dilaksanakan.

MESTECC juga bekerjasama dengan pihak industri di Pasir Gudang melalui
Program Sekolah Angkat (PROSPAG) yang melibatkan sebanyak 65 buah
sekolah yang telah dibekalkan dengan alat pengukur gas multigas detector oleh
pihak industri.

Peralatan tersebut digunakan untuk mengambil bacaan kualiti
udara secara berterusan. Guru-guru dilatih untuk menggunakan pengesan gas ini dan sekiranya bacaan melebihi paras yang ditetapkan, pihak sekolah boleh terus menghubungi MPPG atau JAS untuk tindakan lanjut.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.