Minta kerajaan layan Filipina, Hishammuddin kecewa ada individu seperti Shafie

Hishammuddin tegaskan tuntutan Filipina tidak akan dilayan

KUALA LUMPUR– Cadangan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal supaya Malaysia melayani Filipina yang mahu menuntut Sabah tidak boleh diterima.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau telah tegaskan banyak kali bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan.

Menurutnya, Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.

“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.

“Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut. Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin turut mempersoal apakah Shafie menganggap tuntutan Filipina itu perlu diberikan perhatian.

“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas. Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?

“Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah,”katanya.

Beliau berkata, pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh dan tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah.

Pada 28 Ogos media melaporkan Shafie menuntut Kerajaan Persekutuan berunding secara government to government bagi menyelasaikan isu tuntutan berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.