Lebih utamakan suami dan keluarga walaupun diri sendiri derita sakit

Perkeba dan Sahabat Anak Baling menziarahi keluarga Shafiza petang semalam

BALING -Bukan sahaja sanggup menjaga suami yang lumpuh, seorang wanita turut memikul tanggungjawab menjaga dua adik kandung berstatus OKU.

Ujian itu ditanggung oleh Shafiza Ahmad,39, walaupun dirinya sendiri menanggung derita penyakit fibroid.

Menetap di Taman Desa Mawar Pulai, Shafiza berkata, suaminya Sumardi Budu Ari,51, sudah hampir tiga tahun lumpuh.

Sejak itu, Shafiza memikul tanggungjawab menguruskan mengambil alih selaku ketua keluarga dalam mencari nafkah membantu keluarga termasuk seorang anaknya yang masih bersekolah.

Katanya, dia terpaksa menolak untuk jalani pembedahan ekoran bimbangkan keluarga terutamanya suami yang terlantar sakit.

“Jika saya menjalani pembedahan nanti, tiada orang yang boleh membantu menjaga suami saya yang sakit dan makan minumnya.

“Dua adik saya pula OKU, jadi saya terpaksa tangguhkan dulu pembedahan ini walaupun saya tahu risiko ini amat besar untuk diri saya” katanya yang hanya bekerja sebagai pembantu jualan nasi lemak di sebuah gerai berhampiran dengan rumahnya dengan pendapatan gaji harian sebanyak RM15.

“Dengan gaji RM15 sehari tu lah saya kena simpan untuk bayar duit sewa rumah, bayar bil elektrik dan air,”katanya.

Meskipun menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM), tapi Shafiza berharap ada insan lain boleh membantunya.

“Jika alu-alukan dalam bentuk sumbangan pampers pakai buang dan susu kepada suami saya memandangkan bantuan yang dapat tidak mencukupi untuk menampung keperluan pampers dan susu untuk suami,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling, (Perkeba) Kedah, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pihaknya berharap ada pihak yang sudi membantu keluarga tersebut memandangkan mereka amat memerlukan bantuan.

“Puan Shafiza adalah punca pencarian rezeki buat masa sekarang dan perlu menanggung seramai enam orang yang tinggal bersamanya termasuk suami dan anak,”katanya.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi pihak kami ditalian 011-10861629 atau boleh terus hubungi Pn Shafiza di talian 019-7687054.

Terdahulu Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Md Bidin dan Pengerusi Persatuan Sahabat Anak Baling, Lukman Mahmud serta AJK terlibat menziarahi beliau dan mewakili NGO MRA kawasan Baling menyampaikan sumbangan berupa hamper makanan kepada Shafiza Ahmad dikediamanya.

Rentas7.com/ Kreadit: Unit Media Perkeba

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.