Kerjasama DAP, PUTRA sedia ganti UMNO

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sedia menggantikan UMNO sebagai parti Melayu terbesar di negara ini.

Ketua Penyelaras PUTRA negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, PUTRA pilihan terbaik kaum Melayu selepas UMNO kini dikaitkan dengan kerjasama bersama PKR-DAP.

“Kita tunggu Selasa ini, selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“Jika benar ada Ahli Parlimen UMNO sanggup bekerjasama bersama DAP. Maka kaum Melayu tiada sebab menolak PUTRA. Kami pilihan terbaik menggantikan UMNO,”katanya hari ini.

Beliau berkata, PUTRA tidak akan mengkhianati kepercayaan kaum Melayu seperti mana prinsip penubuhannya.

“Matlamat kita jelas iaitu tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP. Kita tidak akan sesekali khianat kepada orang Melayu.

“Fokus kita sekarang menguatkan parti dan memberikan kefahaman kepada masyarakat akan penubuhan PUTRA,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.