Kenaikan harga barang tekan rakyat marhean

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) bimbang dengan trend kenaikan harga barang yang mendadak ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kenaikan sayur-sayuran, ayam dan telur menekan kewangan rakyat terutamanya golongan B-40.

Menurutnya, kerajaan perlu bertindak pantas menangani masalah yang berlaku.

“PAMM memandang serius isu kenaikan harga barang yang berlaku secara mendadak.

“Kami menuntut kerajaan melakukan sesuatu. Trend kenaikan sayur yang naik 200 peratus sejak dua minggu lalu selepas kenaikan harga ayam dan telur sangat-sangat membebankan rakyat terutamanya golongan marhean,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan menangani kos kenaikan makanan asas akan memberi kesan buruk kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.

“Bagi golongan B-40 yang mempunyai tanggungan ramai Ahli keluarga pastinya akan menerima kesan dengan kenaikan ini.

“Akan ada rakyat yang kelaparan, tidak cukup wang untuk menyediakan bekalan makanan dan keluarga serta tidak mustahil akan mengheret yang terkesan ini untuk mencuri dan sebagainya,”katanya.

Mustaffa berkata, kaedah terbaik menyelesaikan masalah kenaikan harga barang ialah dengan menetapkan harga siling dan mengambil tindakan kepada peniaga yang menaikkan harga tidak masuk akal.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang sebelum ini mendedahkan harga bagi lapan jenis sayur-sayuran naik mendadak.

Antaranya kubis bunga berharga RM 7 sekilogram naik kepada RM 16.

Sayur pendek berharga RM3 pula naik kepada RM9 sekilogram manakala cili merah berharga RM 13 naik kepada RM19 sekilogram.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.