Dua kapal Vietnam ceroboh negara dirampas

Salah satu kapal nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara

SANDAKAN – Dua buah kapal nelayan Vietnam dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah selepas menceroboh dan mengaut hasil laut negara secara haram di perairan Sandakan semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata, rampasan itu membawa kepada penahanan 12 nelayan Vietnam berusia 28 hingga 51 tahun yang terdiri daripada juragan dan awak-awak turut ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati semua tangkapan tidak mempunyai dokumen sah serta tiada kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia secara sah dari Jabatan Perikanan Malaysia.

“Beberapa set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat tersimpan dalam beberapa buah tong yang diperolehi secara haram.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,752.000.00,”katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tangkapan di bawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan dan dibawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tidak memiliki dokumen.

Orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah maritim boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada PPM W4 Sabah di talian Gerakan PPM IPK Sabah 019-9391197 ataupun 089-221 453.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.