COVID-19: Lambat sekat pelancong China, nyawa rakyat terdedah risiko

KUALA LUMPUR– Penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya kerajaan terdahulu mengambil tindakan pantas menghalang kemasukan pelancong China.

Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, sebaliknya kerajaan ketika itu masih membiarkan pelancong China masuk berduyun-duyun ke negara ini.

“China telah diserang COVID-19 pada hujung tahun lalu dan semakin meruncing pada Januari dan Februari.

“Kerajaan kita pula hanya mula menyekat rakyat dari Hubei dan Wuhan China pada 27 Januari lalu. Mengapa mereka begitu lembab membuat keputusan?,”katanya kepada Rentas7.com di sini, hari ini.

Mustaffa

Beliau berkata, ujian saringan terhadap pelancong China belum pasti selamat berikutan virus berkenaan dapat hidup selama dua minggu.

“Walaupun ada saringan masuk dibuat ke atas pelancong China ketika itu, namun perlu diingat COVID-19 mempunyai jangka hayat inkubasi selama dua minggu.

“Kerana terlalu mengejar keuntungan daripada pelancong, nyawa rakyat kini terdedah. Tidak keterlaluan mengatakan pentadbiran ketika itu punca sebenar masalah,”katanya.

Mustaffa berkata, lebih dikesalkan, kerajaan yang sempat memerintah 22 bulan turut mengumumkan pengecualian visa selama setahun kepada pelancong China dan India bermula 1 Januari lalu.

“PUTRA juga berulang kali pada waktu itu mendesak pelancong China disekat, namun tidak diendahkan.

“Bagaimanapun, ketika ini bukan masa untuk menuding jari mencari salah siapa,”katanya.

Untuk rekod, warta kerajaan pada 26 Disember tahun lalu, pelancong China dan India perlu berdaftar dalam sistem dan maklumat perjalanan elektronik disediakan Imigresen seperti tertakluk mengikut Subseksyen 2(1) Akta Pasport 1966.

Pelancong perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik itu.

Dalam pada itu, Mustaffa merayu kepada semua rakyat supaya jangan ingkar pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Negara kita diambang krisis lebih besar sekiranya rantaian penyakit COVID-19 tidak diputuskan. Tolonglah semua.. tolong patuh peraturan dan selalu berdoa kepada ALLAH,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.