Cadang kerajaan hidupkan semula Akta ISA

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) menuntut kerajaan mewujudkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengawal kebanjiran warga asing.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, akta ini relevan bagi menghukum pengkhianat-pengkhianat negara.

“Penghianat-pengkhianat ini adalah mereka yang menjual kad pengenalan dan kad UHNCR kepada warga asing, membawa masuk jutaan pendatang haram dan melakukan jenayah berprofil tinggi.

“PAMM berharap kerajaan dapat memperhalusi tuntutan ini demi tanah air yang berdaulat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penghianat negara bukan sahaja mencabar kedaulatan serta memburukkan imej Malaysia, tetapi tindakan mereka mengancam nyawa rakyat.

“PAMM yakin akta ISA dapat mengawal lambakan isu warga asing di Malaysia. Akta ini perlu diwujudkan secepat mungkin.

“Kemasukan besar-besaran pendatang China dan India yang akhirnya tidak dapat dikesan amat mencemaskan kita. Di belakang mereka siapakah dalangnya?

“Golongan pendatang haram bukan sahaja mengancam rakyat negara ini dengan jenayah, bahkan peratusan mereka membawa penyakit berjangkit amatlah tinggi,”katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, kerajaan perlu segera menyiasat dan mendedahkan dalang yang menjual kad pengenalan kepada warga asing.

“Lucutkan kerakyatan mereka dan halau penghianat-pengkhianat itu ke luar negara,”katanya.

Rentas 7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.