Bayar RM30, dapat layanan seks

KUALA LUMPUR– Seramai 32 orang warga asing serta dua rakyat tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis dua tingkat yang menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan Jalan Hang Kasturi, semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 wanita dan 17 lelaki asing termasuk dua lelaki tempatan. Warga asing yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada warga India, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, tiada sebarang papan tanda diletakkan di premis itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, hasil risikan mendapati premis berkenaan menawarkan khidmat seks berharga RM30 sehingga RM40 bagi tempoh 15 minit dan majoriti pelangganya adalah warga asing.

“Unit Quick Response Team (QRT) JIM menyerbu premis ini pada jam 3.30 petang dengan kekuatan seramai 12 orang Pegawai JIM,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa serbuan, dua orang lelaki warga tempatan berbangsa Cina yang dipercayai penjaga premis cuba melawan dan mengunci pintu sehingga mencederakan Pegawai JIM semasa bergelut.

“Walau bagaimanapun, cubaan penjaga premis ini untuk menghalang Pegawai JIM serta cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan.

“Pemeriksaan di premis mendapati pintu, tangga dan bilik telah diubahsuai supaya menjadi lorong melarikan diri dan tempat persembunyian jika diserbu pihak berkuasa. Wanita-wanita asing yang cuba menyorok di ruang rahsia juga berjaya dikesan dan ditahan,”katanya.

Pegawai JIM sedang melakukan operasi

Khairul berkata,premis tersebut sudah beberapa kali telah diserbu oleh pihak berkuasa tetapi penjaga atau pemilik tidak serik dan masih menjalankan aktiviti pelacuran di premis yang sama.

“Pihak JIM akan memaklumkan kepada agensi bertanggungjawab untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing ke atas premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.