“Banyakkan Sabar Syukor” pesan Menteri Agama

Syukor memegang tali salah seekor kerbau yang mati

KUALA LUMPUR-“Banyakkan bersabar” kata Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada Mohd Syukor Khamis, 15, yang kematian lebih 30 daripada 110 ekor kerbau ternakan bapanya.

Kerbau yang juga dikenali sebagai Mogwli Malaysia itu mati secara berperingkat, dipercayai berpunca daripada penyakit hawar berdarah.

Dr. Zulkifli menerima berita itu pagi tadi.

“Pagi ini menerima berita kematian mengejut 25 ekor kerbau Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

“Kepada anakanda Syukor sekeluarga, banyakkan bersabar. Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang,” katanya.

Beliau turut berpesan pada dirinya dan semua bahawa hidup dan mati milik-Nya. Jasad kita juga adalah milik-Nya.

“Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT. Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat.

“Insya-Allah ada hikmah yang tersembunyi di sisi-Nya,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengambil sempel untuk ujian makmal dan punca kematian haiwan berkenaan akan diketahui dua minggu lagi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.