Banjir tak sentuh dua kalimah suci

Paklong menunjukkan paras air banjir yang tidak menyentuh kalimah Allah dan Muhammad

KUALA LANGAT– Kalimah suci Allah dan Muhammad yang tidak disentuh air banjir antara kebesaran yang dizahirkan-NYA kepada mangsa dan sukarelawan banjir.

Berkongsi kisah itu, petugas Jabatan Amal Malaysia (JAM), Abdul Latef Kasim berkata, kebesaran ALLAH itu dilihatnya ketika bertugas mencuci sebuah rumah keluarga mangsa banjir di Kuala Langat.

Menurutnya, kejadian pada 18 Disember lalu itu telah memusnahkan sebahagian daripada rumah berkenaan termasuk banyak harta benda keluarga mangsa.

Namun katanya, kalimah Allah dan Muhammad yang digantung dalam sebuah bilik langsung tidak terjejas malah sebuah jam dinding yang digantung sederet dengan kalimah tersebut turut terselamat.

“Dalam kejadian banjir itu, bahagian dapur rumah keluarga berkenaan musnah.

“Diceritakan keluarga mangsa, ombak banjir telah menghentam dapur sehingga musnah manakala bahagian lain ditenggalami air paras dada orang dewasa.

Tetapi kalimah Allah dan Muhammad yang digantung di ruang tamu bersebelahan dapur berkenaan langsung tidak terjejas.

“Ia satu kebesaran dan kekuasaan Allah, dalam banjir besar begitu Allah pelihara kalimahnya dan kalimah Nabi dan Rasul-Nya iaitu Muhammad.

“Air banjir hanya menenggelami paras di bawah kalimah Allah dan Muhammad. Inilah kekuasaan Allah yang perlu kita lihat dan diambil sebagai satu iktibar,” katanya yang lebih dikenali sebagai Paklong.

Sementara itu, Paklong yang juga petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kuala Ketil berkata, dia bersedia untuk kembali bertugas di Selangor termasuk di Pahang bagi membantu mangsa banjir.

“Dalam perancangan, Insya Allah kita akan kembali bantu mangsa banjir pada awal tahun depan. Cuma sama ada ke Selangor atau Pahang akan dimuktamadkan nanti,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.