Akan senasib dengan Melayu Patani jika aliran vernakular tidak dihapuskan

Mustafa menyampaikan ucapan dalam program berkenaan

PADANG SERAI– Bangsa Melayu di negara ini akan senasib dengan orang-orang Melayu di Patani sekiranya aliran sekolah vernakular tidak dihapuskan.

Ketua Penyelaras Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (PUTRA) cawangan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, akibat asimilasi Siam di Patani, majoriti orang Melayu di sana sudah tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.

Menurutnya, Patani asalnya tanah milik orang Melayu, akhirnya menjadi milik Siam secara rasmi pada tahun 1909.

Katanya, saat Patani dicantumkan dalam Siam, orang-orang Siam mula membuat asimilasi Siam.

“Orang-orang Patani diwajibkan bertutur Bahasa Siam dalam sistem persekolahan.

“Selepas itu diwajibkan penulisan Siam kemudian dimasukkan unsur-unsur Siam dalam budaya masyarakat Melayu Patani. Hari ini apa yang tinggal untuk Patani? bukan sahaja negara melayang tapi majoriti anak muda mereka bertutur Bahasa Melayu pun tak pandai,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan amanat Pilihan Raya Umum (PRU) di majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya di Kampung Sentosa, malam tadi.

Mustaffa berkata, DAP kini melakukan  perkara hampir sama apabila sedikit demi sedikit mencabar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Cuba bayangan apa yang akan jadi jika sekolah vernakular ini tidak dihapuskan?,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA walaupun parti baru tetapi berani mencabar keabsahan sekolah vernakular di mahkamah sedangkan ada parti lain tidak mampu berbuat demikian.

Turut hadir dalam ceramah berkenaan adalah Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.